Isnin, 22 September 2008

ISLAM MENGANGKAT MARTABAT WANITA

Islam mengangkat martabat wanita dengan menutup aurat mereka

Berikut ini adalah ciri-ciri atau syarat-syarat pakaian muslimah:

1. Menutup seluruh badan selain yang dikecualikan, menurut ijma' para ulama bahagian yang dikecualikan itu adalah wajah dan telapak tangannya. Ada kaum muslimah yang tidak mengindahkan syarat ini sehingga dia memakai pakaian tetapi lengannya di biarkan terbuka atau kakinya terdedah. Ada juga yang yang memperlihatkan betis mereka.

2. Pakaian tersebut bukanlah berfungsi sebagai perhiasan, ini berdasarkan firman Allah SWT yang ayatnya iaitu: "...Dan janganlah kaum wanita itu menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa terdedah (muka dan tapak tangan).." (An-Nur: 31) Secara umum kandungan ayat ini juga mencakupi pakaian biasa jika dihiasi dengan sesuatu, yang menyebabkan kaum lelaki melirikkan pandangan kepadanya. Perintah mengenakan pakaian menutup aurat bermaksud untuk menutupi perhiasan wanita. Maka tidaklah masuk akal jika pakaian itu akhirnya berfungsi sebagai hiasan. Kini banyak kaum muslimah yang memakai pakaian dengan tidak memanjangkan kain tudungnya untuk menutupi dada mereka tetapi dibentuk sedemikian rupa dengan cara dililitkan di leher sehingga terkadang lehernya terbuka tidaak tertutup sempurna atau membiarkan bahagian rambutnnya dilihat. Kecenderungan para muslimah untuk memakai pakaian menutup aurat kini didukung penuh oleh berbagai jenis model yang banyak terdapat di pasaran sehingga perkembangan model-model busana muslimah semakinrancak . Mereka berlumba-lumba merancang busana muslimah sehingga fungsinya yang asal berubah. Ditambah berbagai aksesori dan hiasan membuat busana muslimah berubah fungsi sebagai perhiasan dan menambah kecantikan wanita sehingga wanita yang memakainya dapat menjadi pusat perhatian.Dan ini ditegah oleh Islam.

3. Pakaian tersebut longgar, tidak ketat, sehingga tidak dapat menggambarkan sesuatu dari tubuhnya. Pakaian yang menampakkan bentuk tubuh adalah dilarang oleh Rasulullah, kerana hikmah pemakaiannya tidak mencapai sasaran dan standard pakaian terrsebut masih gagal memenuhi kehendak syariat.

4. Kainnya mesti tebal dan tidak nipis dan lut sinar. Yang pasti jika busana muslimah berfungsi untuk menutup aurat maka kainnya mesti tebal dan tidak tipis dan lutsinar. Jika ia nipis ertinya sama sahaja ia tidak menutup auratnya bahkan memancing godaan dan menampakkan perhiasannya. Perhiasan inilah yang menggamit mata kaum adam yang akan menghasilkn dosa bagi si penonton dan model yang memperlihatkannya. Hal ini seperti yang diterangkan oleh Rasulullah saw dalam hadis berikut ini: "Pada akhir umatku nanti akan ada wanita-wanita yang berpakaian namun (hakikatnya) telanjang. Di atas kepala mereka seperti terdapat bonggol unta. Kutuklah mereka kerana sebenarnya mereka itu adalah kaum wanita yang terkutuk."

5. Tidak boleh memakai wangi-wangian atau perfume yangboleh memikat hidung lelaki menghidu bau tersebut. Cukup sekadar untuk keperluan diri sendiri seperti menghilangkan bau peluh demi keselesaan di tempat awam. Ini berdasarkan berbagai hadis yang melarang kaum wanita untuk memakai wangi-wangian bila mereka keluar rumah, seperti yang tertera dalam hadis berikut ini: Dari Abu Musa Al-Asya'ri bahawasanya ia berkata: Rasulullah saw telah bersabda: "Siapapun perempuan yang memakai wangi-wangian, lalu ia melewati kaum lelaki agar mereka mendapat baunya, maka ia adalah penzina. (HR. An-Nasai, Abu Daud, dan At-Tirmidzi) Walaupun ada larangan bagi muslimah untuk memakai wangi-wangian bukan bererti muslimah harus tampil dengan bau yang tidak sedap. Muslimah harus tetap menjaga kebersihan tubuh,dan pakaian agar tidak menimbulkan bau badan yang dapat mengganggu dan menimbulkan fitnah baru iaitu adanya penilaian orang bahawa orang yang memakai jilbab mempunyai bau yang tidak sedap. Perawatan tubuh tetap diperbolehkan bagi muslimah asal tidak jatuh pada perbuatan tabarruj atau berhias.

6. Tidak menyerupai pakaian laki-laki. Masalah ini ditegaskan dalam hadis Rasulullah berikut ini: Dari Abu Hurairah yang berkata: "Rasulullah melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki." (HR. Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Hakim, dan Ahmad).

7. Tidak menyerupai pakaian wanita-wanita kafir. Dalam syari'at islam telah ditetapkan bahawa kaum muslimin, baik laki-laki mahupun wanita, tidak diperbolehkan bertasyabuh (menyerupai) orang-orang kafir, baik dalam ibadah, ikut merayakan hari raya, dan berpakaian dengan pakaian khas mereka.

8. Bukan Libas syuhrah (pakaian untuk mencari popularity dan memperagakannya). Larangan ini berdasarkan hadis berikut: "Berdasarkan hadis Ibnu Umar ra. Yang berkata: Rasulullah saw bersabda: "Barangsiapa mengenakan pakaian syuhrah (untuk mencari populariti) di dunia, nescaya Allah mengenakan pakaian kehinaan kepadanya pada hari kiamat, kemudian membakarnya dengan api neraka." (HR. Ibnu Najah dan Abu Dawud).

Asy-Syaukani dalam Nailul Authar memberikan definisi tentang libas syuhrah iaitu setiap pakaian yang dipakai dengan tujuan meraih populariti di tengah-tengah orangramai , baik pakaian tersebut mahal, yang dipakai oleh seseorang untuk berbangga dengan dunia dan perhiasannya, atau pun pakaian yang bernilai rendah yang dipakai seseorang untuk menampakkan kezuhudannya dan dengan tujuan riyaknya. Semua ini adalah adalah cirri-ciri dan standard yang sudah ditetapkan syari'at untuk mengatur bagaimana seorang muslimah berpakaian dan menutup auratnya. Tentang tumbuhnya dan berkembangnya pelbagai model busana muslimah sekarang ini, bukan bererti kita tidak boleh menyukainya bahkan memakainya, asalkan semuanya tidak melanggar standard yang sudah dijelaskan di atas dan yang lebih penting kita harus dapat menjaga hati kita agar busana muslimah yang kita kenakan tidak mengheret kita ke neraka kerana niat kita berubah dari ingin menjalankan perintah Allah SWT untuk menutup aurat menjadi riyak atau mencari populariti. Semoga Allah SWT tetap menjaga hati kita agar senantiasa bersikap dan berbuat hanya untuk mencari keredhaan-Nya.

Aman bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan standard yang digariskan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia. Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat. Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya. Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walaubagai mana pun berpakaian kemas dan menceriakan bukan lah termasuk dalam istilah tabarruj (berhias). Begitu juga memakai barang kemas perhiasan sekadar memenuhi fitrah wanita yang sukakan perhiasan tidak dikira tabarruj dengan syarat ia tidak diperagakan.

Dikira sebagai berhias yang dibenar dan digalakkan ialah membersihkan diri dalam segala aspek, termasuk perkra-perKara fitrah dalam diri kita seprti memotong kuku,mencukur bulu kemaluan, mencukur misai bagi lelaki, membersihkan muka dan badan. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Apabila wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka berlakulah pada pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri atau bertudung tetapi ketat seluarnya sehingga menampakkan perhiasan yang sepatutnta dilindung dan hanya halal unutk suaminya sahaja. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya keterlaluan sehingga menimbulkan dosa.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung? Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya. Mereka ini tidak memahami dan menyelami maksud dan hikma h bertudung. Sepatutnya tudung itu menjadikan mereka malu dan segan untuk membuat maksiat. Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka merasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk menerima Islam sebagai agamanya kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam. Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam.Mmereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Keindahan Islam itu tidak diperaga dengan betul. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk men dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam.

Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian yang dinamakan Dakwah Bil Hal iaitu dakwah melalui penampilan cara berpakaian. Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati). Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si dia itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran. Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki. Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal solat lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. Jagalah tertib sebagai seorang wanita. Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya. Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen dakwah melalui pakaian anda.

Semoga bermanfaat."
Selasa, September 23, 2008

ZAKAT FITRAH ORANG BERADA DI LUAR NEGARA

Soalan;

Ustaz. Persoalan saya adalah : Skrg saya sekeluarga berada di Perth Australia, semenjak 23hb Feb 2008 dan insya Allah akan berada disini selama 3-4 tahun sehingga isteri saya menamatkan pengajian.Berkenaan dengan pembayaran Zakat Fitrah ini, bolehkah saya membayar melalui internet ( ie Pusat Zakat, MBB2u etc ) dan berapakah kadar yg sepatutnya saya bayar? Adakah bergantung kepada kadar yg ditetapkan oleh Islamic Organization / Center di Perth ini atau boleh dibayar kadar seperti di Malaysia atau mungkin kena dikira secara 'pro-rata'kan bergantung kepada jumlah hari/bulan saya menetap di Malaysia dan di Perth ini?Bagaimanakah situasinya dan kadarnya sekiranya saya bercadang utk berada & beraya di Malaysia (dan pada ketika itu saya belum lagi menbayar Zakat Fitrah).Harap Ustaz tidak keberatan utk memperjelaskan dan terima-kasih. Wassalam.

Jawapan;

Zakat fitrah adalah zakat diri. Oleh ia hendaklah dikeluarkan di tempat di mana diri kita akan berada semasa terbenam matahari hari terakhir Ramadhan (yakni bermula malam pertama Syawal) iaitulah waktu sebenar bagi kewajipan mengeluarkan zakat fitrah menurut mazhab Syafi’ie, Ahmad dan beberapa ulamak yang lain.[1] Jadi, jika saudara bercadang untuk berhari raya di Malaysia di mana sebelum atau semasa terbenam matahari itu saudara jangka akan berada di Malaysia, maka hendaklah saudara membayar zakat fitrah di Malaysia. Dan jika saudara akan beraya di Australia, hendaklah saudara membayar zakat fitrah di sana. Dikecualikan jika saudara mendapati ada ahli keluarga yang miskin di Malaysia atau ada orang yang lebih berhajat di Malaysia yang lebih memerlukan zakat saudara, maka ketika itu haruslah saudara memindahkan zakat ke Malaysia sekalipun saudara berada di Australia. Begitu juga, harus saudara memindahkan zakat dari Malaysia ke tempat lain jika ada orang yang lebih berhajat di tempat itu walaupun saudara berada di Malaysia. Kadar zakat pula hendaklah mengikut ketetapan pihak berkuasa agama di tempat saudara mengeluarkan zakat.Mengenai hukum membayar zakat secara online (internet banking) telah saya jelaskan sebelum ini. Sila baca di; (http://ilmudanulamak.blogspot.com/2008/07/zakat-secara-online-internet-banking.html).Wallahu a’lam.

Rujukan;1. Fatawa Mu’asharah, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, 1/135.2.
2. az-Zakah, Syeikh Abdullah ‘Ali al-Abhar, hlm. 72.3.
3. Fiqh az-Zakah, Syeikh Abdur-Razzaq Nasir Muhammad, hlm 212.

Nota Kaki;

1. Walaupun waktu wajib adalah di penghujung Ramadhan (iaitu apabila terbenam matahari di hari terakhir Ramadhan), namun zakat fitrah harus dibayar lebih awal dari masa tersebut. Ketetapan waktu bagi mengeluarkan zakat fitrah mengikut menurut mazhab Syafi’ie adalah seperti berikut;1. Waktu wajib : iaitu dengan terbenamnya matahari pada hari terakhir Ramadhan.
2. Waktu harus : iaitu sebaik sahaja masuknya bulan Ramadhan dan berterusan hingga ke hari raya (sebelum terbenamnya matahari). Jadi, sepanjang bulan Ramadhan –menurut mazhab Syafi’ie- adalah waktu yang diharuskan untuk kita membayar zakat fitrah.
3. Waktu sunat ; iaitu pada pagi hari raya sesudah sembahyang subuh dan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya atau sebelum solat hari raya didirikan.
4. Waktu makruh; iaitu mengeluarkan zakat fitrah sesudah solat aidil-fitri tetapi sebelum terbenam matahari pada hari raya.
5. Waktu haram; iaitu melambatkan pembayaran zakat fitrah hingga selepas terbenam matahari pada hari raya.

Catatan oleh: Zauj Zie

ZAKAT FITRAH DENGAN WANG DAN NILAI SEMASANYA

Soalan; Zakat fitrah wajib dikeluarkan dengan beras dimalaysia, tapi ada sebahagian yang mengeluarkan dgn menggunakan wang, apakah sah dalam islam? Sedangkan hadist nabi tak ada yang memenyuruh atau memerintahkan pakai wang. Dan berapakah berat beras yang mesti dikeluarkan? Yang saya lihat ada mengeluarkan dengan 2,7 kg dan ada pula dengan 2,5 kg, manakah yang betul? Saya sangat kompius dalam hal ini.

Jawapan;Mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai (yakni dengan wang) terdapat khilaf di kalangan ulamak tentang keharusannya;1. Menurut jumhur ulamak (Imam Syafi’ie, Malik dan Ahmad); Zakat fitrah wajib dikeluarkan dalam bentuk makanan (yakni makanan asasi penduduk setempat). Tidak harus dikeluarkan dengan wang sekalipun menyamai harga/nilai makanan yang wajib dikeluarkan zakat. Alasan mereka ialah; mengeluarkan zakat fitrah dengan selain dari makanan asasi setempat adalah bercanggah dengan Sunnah Nabi s.a.w..2. Menurut Imam Abu Hanifah; harus mengeluar zakat fitrah dengan wang yang seharga/senilai dengan makanan yang wajib dikeluarkan zakat. Menurut mereka; zakat fitrah adalah hak fakir-miskin. Untuk memenuhi hajat mereka boleh dengan makanan dan boleh juga dengan wang. Tidak ada beza antara kedua-duanya. Barangkali mengeluarkan dengan wang adalah lebih baik kerana dengan wang memudahkan orang fakir membeli apa sahaja barang keperluan yang mereka kehendaki (makanan, pakaian, daging, lauk-pauk dan sebagainya). Pandangan sebagaimana Abu Hanifah ini diriwayatkan juga dari Umar Abdul Aziz, al-Hasan dan as-Sauri.3. Menurut Imam Ishaq dan Abu Tsur; mengeluarkan zakat fitrah dengan nilai (wang) hanya harus ketika darurat sahaja.Ulamak-ulamak semasa hari ramai yang menyetujui pandangan Imam Abu Hanifah termasuk Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitab Fiqh Zakatnya. Menurut beliau; keharusan mengeluarkan zakat dengan wang lebih menepati kehendak semasa dan memberi kemudahan kepada fakir miskin.[1] Begitu juga dengan Dr. Mutafa al-Khin dan Dr. Mustafa al-Bugha yang menjelaskan dalam kitab mereka al-Fiqh al-Manhaji (sebuah kitab Fiqh mazhab Syafi’ie kontemporari); “Tidak mengapa pada zaman ini untuk kita mengikuti pandangan mazhab Hanafi dalam masalah ini iaitu keharusan membayar zakat fitrah dengan nilai wang kerana ia lebih mendatangkan manfaat kepada orang fakir dan lebih dekat kepada tujuan yang ingin dicapai…”.[2]Menyentuh kadar zakat fitrah, mengikut hadis; kadar yang wajib dikeluarkan ialah satu Sha’ (الصاع) iaitu satu gantang. Abi Sa’id al-Khudri r.a. menceritakan; “Kami mengeluarkan zakat fitrah (pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan kadar satu Sha’ (gantang) dari gandum atau satu Sha’ dari barli atau satu Sha’ dari tamar atau satu Sha’ dari ‘aqt (keju) atau satu Sha’ dari kismis (anggur kering)” (Riwayat Imam Muslim).Satu Sha’ mengikut nilaian lama menyamai 5 1/3 Ritl (الرطل) ‘Iraqi iaitu gantang Baghdad. Mengikut ukuran liter, menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji, satu Sha’ menyamai 3 liter. Adapun mengikut gram, antara ulamak ada sedikit perbezaan;1. Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menetapkan; satu Sha’ (gantang) menyamai berat hari ini 2400 gram atau 2.4 Kg.2. Dr. Wahbah az-Zuhaili dalam kitabnya al-Fiqh Islami Wa Adillatuhu menyebutkan; menurut jumhur ulama’, satu Sha’ Iraqi menyamai ukuran semasa 2751gram atau 2.751Kg.3. Menurut Syeikh Majid al-Hamawi (seorang ulamak dari Syria) dalam ulasannya terhadap kitab “Matn al-Ghayah wa at-Taqrieb” menegaskan; satu Sha’ menyamai ukuran semasa 2750gram atau 2.75Kg. Mengikut ukuran bekas, jika bekas adalah empat segi sama, maka panjang setiap sisinya ialah 14.6cm.Ukuran di atas berdasarkan timbangan gandum iaitu makanan asasi penduduk Negara-negara Arab. Adapun mengikut timbangan beras, berdasarkan Majlis Fatwa Kebangsaan, satu gantang Baghdad mengikut timbangan beras semasa (beras super tempatan gred A) ialah 2600gram atau 2.6 KG. (Lihat; Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-57, bertarikh 10 Jun 2003. Rujukan; http://www.e-fatwa.gov.my/jakim/keputusan_view.asp?keyID=148)
Puasa tak berkesan - dimana silapnya?

"Seorang penjual ubat akar kayu warga emas kelihatan ceria dan wajah berseri bersih, seola-olah baru pulang dari mengerja haji. Bibirnya kumat kumit membaca sesuatu sambil tangannya meracit akar kayu yang sudah kering untuk dijadikan ubat. Walaupun premisnya cuma di kaki lima, namun dia bersyukur kerana dapat mencari rezeki halal untuk menyara dirinya. Tiga orang lelaki berpakaian kemas tiba-tiba menuju ke tempat orang tua itu untuk mencari ubat dari jenis herba yang banyak disusun di hadapannya. Sambil memilih bungkusan kecil yang mengandungi akar kayu, tiba-tiba tergetus hati salah seorang dari mereka untuk bertanya kenapa puasa Ramadan yang dikerjakan setiap tahun semacam tidak mendatangkan apa-apa perubahan kepada dirinya, seolah-olah ibadat puasa seperti adat sahaja. Sambil merenung ke dalam wajah pemuda itu, orang tua yang berpakaian selekeh itu tersenyum kecil lalu menjawab: 1. Ramadan sepatutnya disambut oleh umat Islam dengan perasaan gembira kerana ia membawa 1001 keberkatan dan fadilat yang tidak terdapat pada bulan lain, tetapi kamu menerima kedatangannya seperti meneri kehadiran tamu yang tidak diundang kerana terbayang berbagai kesukaran yang bakal kamu tempuhi untuk memenuhi nafsu kamu 2. Kamu menyambut Ramadan kononnya, tapi fokus utama kamu ialah hari raya. 3. Umat Islam tahu Ramadan bulan penuh keberkatan, tapi terlalu jarang yang sudi merebutnya kerana tidak terasa terpanggil untuk mendapatkannya. 4. Ramadan mendidik seseorang supaya bersimpati terhadap golongan miskin. Tapi kamu langsung tidak mempedulikan kesusahan mereka. Malah kamu melihat mereka seperti sampah di tepi jalan. 5. Kamu berpuasa sehari suntuk tanpa meyentuh makanan. Tapi semasa berbuka kamu menyendatkan perut kamu yang kosong itu dengan anika jenis makanan dan minuman yang jarang kamu hidangkan pada bulan-bulan lain. Ibadat puasa bertukar menjadi pesta mengisi perut untuk memenuhi nafsu makan kamu yang haloba. 6. Mengimarahkan masjid dengan pengisian solat terawih dan lain-lain ibadat sunat adalah besar fadilatnya, tapi kamu menghabiskan waktu di pasar Ramadan dan gedung membeli belah sehingga larut malam. 7. Sejak awal pagi kamu sibuk dengan aktiviti perniagaan dan ianya berterusan hingga ke malam tanpa sempat mengisi dengan aktiviti ibadat. Akhirnya tanpa disedari, Ramadan sampai di penghujung sedangkan kamu masih tamak mengejar keuntungan perniagaan yang hanya dapat diraih dalam bulan Ramadan sahaja. 8. Ramadan mendidik jiwa supaya tidak boros dan membazir, tetapi kamu berbelanja berlipat kali ganda berbanding dengan bulan-bulan lain, bermula dari perbelanjaan untuk menyedia makanan yang lazat sewaktu berbuka dan bersahur hinggalah kepada persiapan untuk menyambut hari raya. 9. Tujuan syarak mewajibkan berpuasa adalah supaya kamu berkungsi pengalaman perit tanpa makan dengan mereka yang hidup melarat akibat kemiskinan atau ditimpa bencana, tapi perasaan tersebut langsung tidak meresap ke dalam jiwa kamu. Sebaliknya sikap tamak dan bakhil kamu terus menebal sehingga menganggap mereka yang datang meminta sedikit pertolongan dan sumbangan kepada kamu, sebagai menyusahkan kamu. Jika pun kamu menghulur sumbangan, pemberian kamu adalah dengan berat hati dan menunjukkan muka yang masam tanda tidak ihklas. 10. Kamu mengadakan majlis berbuka puasa di rumah atau di hotel lima bintang dengan juadah yang mewah dan mahal. Tamu undangan kamu terdiri dari rakan bertaraf orang kenamaan dan kaya, sedang jiran kamu yang daif dan miskin tidak termasuk dalam senarai undangan. Kamu sebenarnya melakukan ibadat tersebut dalam keadaan riya’. 11. Kamu mengunjungi masjid untuk menunaikan solat terawih berjamaah sebagai menunaikan kegiatan qiyamullail di bulan Ramadan, namun dalam hati sering merungut bacaan imam yang panjang kerana tidak mahu menghabiskan masa yang panjang di masjid rumah Allah. 12. Ramadan melatih kamu supaya bersabar, tetapi semasa memandu, tindak tanduk kamu ternyata hilang sabar. Tangan kamu menekan horn memanjang tanda marah apabila kenderaan lain mengganggu kelancaran kenderaan kamu sambil mulut menyumpah-nyumpah. Setelah selesai menjawab, orang tua itu meminta maaf jika jawapannya itu menyinggung perasaan tiga lelaki tersebut. Tanpa membeli ubat, mereka terus beredar kerana pil pahit yang diberi percuma oleh penjual ubat itu sudah cukup untuk merawat ibadat puasanya yang sekian lama terjejas. "

MENANTI LAILATULQADR

Lailatulqadar:

September 22 @ 18:30:00 MYT Oleh Ghafani Awang Teh-JAKIM

BAGI umat Islam yang beriman, kedatangan bulan Ramadan amat dinantikan kerana Ramadan menyediakan ganjaran pahala yang besar di mana ia muncul sekali dalam setahun. Oleh yang demikian, peluang keemasan yang terbuka luas perlu direbut atau diburu kerana riwayat hidup atau jangka hayat kita pada tahun berikutnya tidak pasti sama ada kita berpeluang lagi menghayati dan menikmati rahmat Ramadan yang berkat itu.
Walaupun puasa Ramadan itu sendiri menyediakan pahala yang besar tetapi Allah memperuntukan satu lagi rahmat yang amat hebat di salah satu malam Ramadan iaitu anugerah rahmat Lailatulqadar. Rahmat Lailatulqadar menjanjikan berita baik masa depan riwayat atau jangka hayat seseorang umat Islam yang berpeluang menikmatinya.

Luh Mahfuz dan salasilah Lailatulqadar:
Tidak banyak diketahui tentang Luh Mahfuz. Ulama jarang menghuraikannya kerana barangkali ia adalah urusan alam ghaib atau urusan rahsia Allah. Dalam al-Quran pun, Luh Mahfuz di sebut secara sepintas lalu sahaja tanpa penjelasan lanjut. Sebagai contohnya dalam satu peristiwa yang amat bersejarah ahli tafsir menyatakan Luh Mahfuz disebut berkaitan dengan nuzul al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia) secara sekali gus yang berlaku dalam bulan Ramadan. Allah berfirman (bermaksud) al-Quran itu telah tersimpan di Luh Mahfuz (Al-Buruj: 22).

Menurut Ibn Abbas dan A;-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan terdapat kesepakatan ulama bahawa nuzul Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah berlaku secara sekali gus pada malam Lailatulqadar dalam bulan Ramadan. Tempoh lama al-Quran tersimpan di Luh Mahfuz dan berada di Baitul Izzah tidak diketahui kerana ulama tidak memberi huraian lanjut, mungkin hal ini sebagai persoalan ghaib atau rahsia Allah. Dengan demikian malam Lailatul Qadar yang diburu oleh kebanyakan umat Islam yang solih pada sepuluh malam terakhir Ramadan adalah berkaitan Nuzul Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah dan bukannya permulaan nuzul Quran dari Baitul Izzah kepada Nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril juga berlaku pada 17 Ramadan yang berlaku 13 tahun sebelum Hijrah.

Lailatul Qadar adalah merujuk kepada suatu malam kemuliaan atau malam yang agong yang penuh dengan keberkatan, malam yang lebih baik daripada seribu bulan bahkan kemungkinan malam anugerah rahmat yang paling besar dalam sejarah hidup setiap orang. Persoalan yang timbul ialah apakah perkaitan peristiwa nuzul Quran di Luh Mahfuz itu dengan malam Lailatulqadar.

Al-Quran merupakan kitab suci umat islam yang di dalamnya mengandungi panduan syumul kehidupan manusia tentang ilmu politik, ekonomi, sosial, akidah dan sebagainya. ajaran-ajaran rasul dan nabi-nabi yang terdahulu turut diserapkan dalam al-Quran. Dengan kehebatan dan keagongan al-Quran itulah maka Allah mengabadikan nuzul Quran sebagai malam Lailatulqadar yang ditentukan berlaku dalam bulan Ramadan.

Allah berfirman maksudnya: Sesungguhnya kami telah menurunkan (al-Quran) pada malam Lailatulqadar (Al Qadar:1). Seterusnya dalam ayat yang lain Allah berfirman (maksudnya): Malam Lailatulqadar itu lebih baik dari seribu bulan (Al Qadar: 3). Manakala dalam satu hadis sahih Rasulullah bersabda yang bermaksud: ''Barang siapa yang beribadat pada malam lailatul Qadar kerana didorong keimanan dan keikhlasan, nescaya di ampunkan segala dosanya yang telah lalu (riwayat: Bukhari, Muzlim, Nasai dan Ahmad).''

Menurut Qurtubi kemuliaan atau anugerah yang dijanjikan dalam rahmat Lailatulqadar ialah pada malam itu Allah menentukan atau mentaqdirkan jangka hayat dan rezeki setiap orang untuk tahun itu sehingga muncul Lailatulqadar pada bulan Ramadan yang akan datang. Dalam riwayat yang lain pula menyatakan para malaikat turun beramai-ramai secara besar-besaran turun ke dunia untuk turut memuliakan dan meraikan umat Islam yang menerima anugerah rahmat Lailatulqadar itu.

Terdapat pelbagai riwayat mengenai tarikh berlaku anugerah Lailatulqadar. Dalam sebuah hadis sahih Rasulullah bersabda: ''Berjagalah pada malam Lailatulqadar iaitu malam-malam sepuluh terakhir Ramadan (Riwayat: Bukhari, Ahmad, Muslim, Tirmizi dan Aisyah). Berdasarkan hadis ini, maka kebanyakan ulama berpendapat malam Lailatulqadar terjadi pada malam sepuluh hari terakhir Ramadan. Namun demikian terdapat juga ulama berpendapat malam Lailatulqadar berlaku pada salah satu malam bulan Ramadan, dan ada pula menyatakan pada malam 27 Ramadan.

Perbezaan pendapat ulama dalam menentukan malam anugerah Lailatulqadar sebenarnya memberi rahmat yang besar kepada umat Islam. Dengan demikian, umat Islam tidak boleh memburu rahmat anugerah lailatul Qadar secara teka teki, serkap jarang atau dengan tangkap muat sahaja dalam usaha mencari untung nasib rahmat Lailatulqadar. Wal hasilnya malam anugerah Lailatulqadar adalah milik orang salih atau ahli-ahli ibadat yang secara maraton dan konsisten melakukan ibadat dan mengabadikan diri kepada Allah pada sepanjang masa.

Dalam ibadat sembahyang, Allah memberi jaminan kepada umat Islam, firmannya (bermaksud) ''Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman iaitu orang yang khusu' dalam sembahyangnya'' (Al Mu'minuum: 1). Dalam hadis yang lain Rasulullah bersabda (bermaksud) ''Ramai orang yang mendirikan sembahyang tetapi hasilnya ialah penat dan lelah sahaja''. (Riwayat: Ibn Majah). Manakala dalam ibadat puasa pula, Rasulullah telah memberi peringatan sabdanya (bermaksud) ''Ramai umat Islam berpuasa tetapi hasilnya ialah lapar dan dahaga sahajalah''. (Riwayat: Ibn Majah dan Nasai). Berdasarkan keterangan ayat al-Quran dan hadis, ternyata suruhan Allah dan gesaan Rasulullah meminta umat Islam melaksanakan ibadat kepada allah hendaklah dibuat secara ikhlas dan penuh keimanan atau dengan kata lain amal ibadat yang mempunyai kualiti tinggi.

Kualiti diertikan sebagai bermutu atau bernilai. Maka dalam kontek ini puasa yang berkualiti adalah merujuk kepada amalan puasa bermutu tinggi yang memenuhi kehendak Allah di manan memberi pulangan pahala yang maksima atau ibadat puasa yang dibuat secara ikhlas dan penuh keimanan. Persoalan yang timbul ialah apakah faktor seseorang itu mempunyai kualiti puasa yang rendah atau dhaif. Keadaan ini berlaku kerana:

* Tidak memahami matlamat beribadat kepada Allah;
* Berpuasa sebagai mengambil kesempatan menjaga kesihatan semata-mata;
* Tidak berpegang teguh dengan disiplin puasa kerana ibadat-ibadat yang lain pun dibuat sebagai melepas batuk di tangga sahaja; dan
* Mempunyai iman yang lemah kerana menganggap diri mereka sebagai orang awam sahaja.
Imam Ghazali pada zamannya telah membuat pemerhatian dan penyelidikan mengkaji tahap atau mertabat puasa yang diamalkan oleh umat Islam. Beliau menyatakan tahap itu terbahagi kepada tiga:
* Puasa umum;
* Puasa khusus; dan
* Puasa istimewa.

Puasa umum adalah merujuk darihal puasa yang dibuat semata-mata menahan makan, minum dan menjauhi perhubungan kelamin pada siang hari. Dengan kata lain, mereka kelihatan berpuasa tetapi tidak memperolehi pahala kerana mereka tidak memelihara adab-adab berpuasa. Apa yang mereka perolehi ialah semata-mata lapar dan dahaga sahaja. Imam Ghazali menamakan puasa umum kerana puasa kelas ini mungkin kebanyakan dilakukan oleh umat Islam yang daif iman.

Manakala puasa khusus, adalah merujuk darihal puasa yang bukan sahaja menahan lapar dan hubungan kelamin pada siang hari tetapi mereka juga menjaga adab tertib berpuasa dan menahan seluruh anggota pancaindera daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan atau merosakkan amalan puasa. Puasa khusus adalah amalan puasa orang-orang salih samada mereka itu orang awam atau alim ulama. Secara lebih luas sifat puasa khusus ialah:
* Menahan penglihatan atau mengelakkan pandangan yang boleh mengganggu dan melalaikan hati mengingati Allah dan merosakkan keimanan;
* Mengawal lidah daripada membicarakan perkara-perkara keji dan sia-sia;
* Menjauhkan diri daripada mendengar perkara keji dan sia-sia;
* Menjauhi makanan syubahat dan haram ketika berbuka puasa;
* Mengelakkan banyak makan ketika berbuka supaya rezeki yang diperolehi itu tidak membazir; dan
* Malu kepada Allah kerana bimbangkan amalan puasa yang tidak dapat memenuhi harapan Allah atau tidak diterima Allah.

Puasa yang istimewa pula adalah merujuk darihal puasa yang bukan sahaja menahan lapar, perhubungan kelamin pada siang hari dan segala pancaindera melakukan perkara haram malah mengarahkan hati, fikiran, perasaan dan tingkah laku berpuasa untuk allah semata-mata tanpa sedikit pun memikirkan hal-hal keduniaan. Puasa istimewa ini adalah menjadi amalan para rasul dan nabi-nabi dan merupakan martabat puasa paling tinggi di sisi Allah.

Program bulan Ramadan merupakan agenda tahunan Allah untuk membersihkan jiwa dan melatih umat Islam dengan harapan pengajaran puasa akan menjadi budaya atau cara hidup yang mampu meningkatkan gaya hidup sihat bukan sahaja dalam bulan puasa tetapi juga dalam kehidupan seharian pada sepanjang tahun. Terdapat sebahagian umat Islam yang mengkelaskan mereka sebagai orang awam, maka mereka hanya mampu berpuasa pada martabat puasa umum.
Walaupun sebagai orang awam tidak termasuk dalam golongan ulama, tetapi mereka juga orang Islam yang menjadi kewajipan untuk berusaha menjadi umat islam yang beriman atau salih. Umat Islam tidak boleh terus kekal dalam keadaan yang kotor, daif dan melencung dari fitrah kerana Allah menganggap orang bersifat demikian sebagai seburuk-buruk haiwan (makhluk) yang hidup melata di atas muka bumi. Allah berfirman (bermaksud) ''Sesungguhnya seburuk-buruk haiwan (makhluk) yang hidup melata di sisi Allah ialah orang kafir kerana mereka tidak mahu beriman (al-Anfal: 55).

IBADAT puasa jika diamalkan secara ikhlas dan penuh keimanan secara bersepadu dengan ibadat-ibadat khusus yang lain, maka sudah pasti kedudukan keimanan orang awam akan bertambah baik dan boleh mencapai tahap orang-orang yang salih. Dan inilah matlamat utama ibadat Islam sebagai usaha mengekalkan kesinambungan fitrah akhlak mulia manusia yang pada asalnya suci dan bersih. Kita yakin dan percaya bahawa berdasarkan pemerhatian, terdapat perkaitan yang kuat, mereka yang ikhlas mengamalkan puasa atau tinggi kualitinya serta terus kekal dalam keadaan fitrah maka mereka juga mempunyai kualiti yang tinggi dalam mengerjakan ibadat-ibadat yang lain.
Gaya hidup orang salih dalam bulan Ramadan melambangkan atau memberi gambaran bahawa kehidupan mereka di bulan yang lain pun sama juga seperti gaya hidup di bulan Ramadan. Pengajaran yang diperolehi dari pengalaman Ramadan itu, mereka terjemahkan dan menghayatnya dalam kehidupan seharian. Kesungguhan mereka beribadat kepada Allah adalah semata-mata untuk memenuhi seruan Allah. Allah berfirman (maksudnya): ''Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat kepada Ku (Azzariyat: 56). Manakala dalam ayat yang lain pula Allah berfirman (bermaksud): ''Hai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikut langkah syaitan.'' (Al-Baqarah: 208).
Isu utama yang dinyatakan dalam ayat-ayat tersebut ialah Allah mencipta manusia untuk menjadi khalifah Allah yang suci jiwanya dengan tujuan memakmurkan dunia mengikut syariat Allah sepenuhnya. Allah tidak mahu hanya dalam bulan Ramadan sahaja kelihatan umat Islam berduyun-duyun mengamalkan puasa dan taat mematuhi perintah allah, tetapi gaya hidup mereka di bulan-bulan yang lain pula, kembali mengikut jejak langkah perangai syaitan. Gaya hidup secara talam dua muka atau dua alam ini amat bercanggah dengan matlamat program Ramadan yang mahu umat Islam kekal dalam keadaan fitrah.
Anugerah Lailatulqadar yang dijanjikan Allah dalam bulan Ramadan merupakan satu peluang keemasan bagi orang salih memburu dan melipat gandakan amalan ibadat puasa walaupun ibadat khusus yang lain telah pun kuat. Dalam sebuah hadis sahih, Rasulullah bersabda: (bermaksud) ''Barang siapa mengerjakan ibadat sembahyang pada malam Lailatulqadar kerana keimanan dan keikhlasan, di ampun baginya dosa-dosa yang telah lalu (Riwayat: Bukhari, Muzlim, Ahmad, Tirmizi, Nasai dan Abu Daud). Bagi orang salih, walaupun bilangan rakaat sembahyang Terawih menjadi khilaf ulama, ada yang memilih lapan rakaat atau dua puluh rakaat tetapi mereka berpegang kepada pendapat Khalifah Umar bahawa bilangan rakaat sembahyang sunat Terawih adalah dua puluh rakaat kerana pendapat ini adalah kukuh dan dipegang oleh sebahagian besar ulama. Tambahan pula ia selari dengan semangat Ramadan yang menghendaki amalan puasa dan malam Ramadan perlu dipenuhi dengan beribadat kepada Allah.

Satu lagi amalan orang salih dalam bulan Ramadan ialah memperhebatkan iktikaf di masjid atau di surau-surau yang dibenarkan mendirikan sembahyang fardu Jumaat. Nabi Muhammad sendiri pada sepuluh malam terakhir Ramadan telah melipatgandakan iktikaf dan amalan-amalan sunat yang lain seperti membaca al-Quran, berzikir, tarawih, bertahajud dan sebagainya dalam usaha memburu Anugerah Lailatulqadar, walau pun Rasulullah sendiri adalah istimewa di sisi Allah.

Setiap umat Islam yang berusaha keras mencari dan memburu mendapatkan rahmat Lailatulqadar mempunyai peluang baik memperolehinya. Dari Abu Hurairah, Rasulullah bersabda: ''Barang siapa menghidupkan Lailatulqadar, lalu mendapatkannya'' Riwayat: Muslim). Dari penjelasan hadis ini menunjukkan anugerah Lailatulqadar bukan untuk orang tertentu tetapi untuk mereka yang mengamalkan ibadat puasa dan malam Ramadan dengan penuh taat seperti membaca al-Quran,, berzikir, berdoa, bersedekah, qiyamullail dan seumpamanya. Terdapat pelbagai pandangan diberi tentang tanda-tanda penemuan malam Lailatulqadar. Ada yang menyatakan matahari yang muncul pada waktu pagi keesokannya seperti suasana bulan purnama penuh, cahaya berseri dan tidak panas. Manakala pada waktu malam Lailatulqadar pula keadaannya suasana malam adalah hening dan tenang.
Kita yakin dan percaya berdasarkan keterangan al-Quran dan hadis bahawa terdapat perkaitan yang kuat anugerah rahmat lailatul Qadar adalah untuk umat Islam yang berjaya membersihkan diri sepenuhnya dimana mereka mempunyai kualiti puasa yang tinggi. Untuk mengekalkan prestasi kualiti puasa yang tinggi selama 29 atau 30 hari bukanlah perkara yang mudah. Bagi orang Islam yang dhaif iman agak sukar untuk mengekalkann prestasi kualiti puasa selama 29 atau 30 hari kerana bukan tabiatnya berbuat demikian. Walhasilnya mereka yang berpeluang besar akan mendapat izin Allah mempereoleh rahmat anugerah Lailatulqadar ialah orang-orang salih yang bukan sahaja cemerlang dalam mengekalkan kualiti puasa tetapi mereka juga hebat dalam melaksanakan ibadat-ibadat yang lain.
sumber:http://www.islam.gov.my/portal/lihat.php?jakim=3434