Selasa, 7 Oktober 2008

Tazkirah Remaja: Rugi jadi ‘hamba Ramadan’
Bersama Mohd Zawawi Yusoh

ALHAMDULILLAH! Kita sudahpun sama-sama merayakan Aidilfitri yang mulia dengan penuh gembira dalam suasana harmonis sekali.Segalanya baru, baju baru, pakaian baru, rumah baru tetapi harus diingat yang patut baru bukan sekadar pada baju, pakaian dan makanan tetapi yang penting dan teramat penting ialah jiwa yang baru selepas berjaya ditarbiah dan ditempa madrasah Ramadan.

Semoga puasa kita dan Tarawih kita diterima, bacaan al-Quran kita berjaya menggugah hati yang degil dan keras ini, sedekah kita menjadi perisai daripada bahaya dan musibah. Sebagai muhasabah, dalam kita merayakan hari lebaran ini jangan kita lupa, sesungguhnya ukuran kejayaan kita bukannya diukur ketika dalam puasa.Walaupun banyak kita baca al-Quran, itu belum tanda kita sudah berjaya. Bulan Ramadan memang kita kerap ke masjid untuk solat Tarawih dan itu bukan tanda kita sudah berjaya. Sedekah yang banyak pada bulan Ramadan, itu bukan tandanya kita sudah jadi pemurah.Kenapa saya kata begitu? Pembaca pun sudah boleh agak jawapan saya. Malah kerap kali kita dengar jawapan yang akan saya utarakan ini dalam tazkirah - tazkirah dan ceramah serta khutbah alim ulama.Sebabnya ialah kerana bulan Ramadan adalah bulan ‘latihan’ atau bulan ‘kursus”. Kejayaan sesuatu kursus bukannya di tempat kursus tetapi ukurannya ialah selepas selesai berkursus.

Pertarungan sebenar kita bukannya pada bulan Ramadan, malah ‘The Real Battle’ ialah 11 bulan selepas bulan Ramadan.Ada orang, dalam bulan Ramadan pergi ke surau dan masjid tiap-tiap malam tetapi kalau selesai Ramadan terus tidak pergi ke masjid dan surau. Itu namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah. Sekiranya bulan Ramadan membaca al-Quran tidak henti-henti tetapi bila saja habis Ramadan, habis tidak baca-baca lagi al-Quran dan itu juga namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah. Bulan Ramadan bukan main lagi suka bertahajjud tetapi selepas bulan Ramadan terus tidak terkejut-kejut lagi. Itu pun satu lagi namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah. Maaf kerana saya guna perkataan agak kasar sedikit. Tetapi apabila difikirkan mengenai kemunafikan kita beribadat, rasanya sekali-sekala terpaksa berkasar sedikit. Ini bukan apa, cuma nak menggugah hati yang tidak terikat dengan roh Ramadan.Ungkapan mengenai hamba Ramadan sebenarnya nasihat daripada ulama semasa dan amat kontemporari iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi yang menyatakan: “Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan.” Maksudnya, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan, berbuat baik bukan hanya bermusim. Pergi ke masjid dan surau bukan ikut angin (mood) kita atau tengok ramai orang pergi, kita pun pergi juga, tetapi apabila orang sudah mula tidak pergi lagi ke masjid, kita jadi hilang semangat. Kenapa bersemangat hanya pada bulan Ramadan? Sama juga dengan semangat membantu anak-anak yatim dan fakir miskin, kenapa hanya pada satu bulan saja kita bantu dan gemukkan mereka, sedangkan kita semua tahu anak yatim dan fakir miskin tidak hidup 30 hari setahun?Anak yatim sama juga macam kita, mereka hidup selama 365 hari setahun. Bulan Ramadan, montel mereka tetapi bulan-bulan lain jadi kurus pula mereka.

Marilah kita jadikan kerajinan dan semangat serta kesungguhan kita pada bulan Ramadan sebagai ‘spark’ untuk meneruskan kerajinan pada 11 bulan yang mendatang, termasuk pada Syawal yang mulia ini.

Kebajikan Guru Perlu Diutamakan

Cadangan untuk mengadakan sambutan hari guru di Malaysia sebanyak dua kali setahun telah dilontarkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail apabila pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengistiharkan bahawa Sambutan Hari Guru Sedunia adalah pada 5 November walaupun ianya masih lagi di dalam peringkat perbincangan.
Saya bersetuju dengan kata-kata Datuk Razali bahawa sambutan hari Guru adalah sebagai tanda kita menghargai jasa dan pengorbanan warga pendidik namun saya lebih melihat bahawa bukannya sambutan sahaja yang perlu dititikberatkan tetapi tugas yang semakin dibebankan kepada guru perlu juga diambil perhatian. Bebanan tugas guru bukanlah perkara baru di dalam negara kita kerana sejak beberapa tahun ini, perkara ini telah menjadi tajuk perbincangan hangat setiap kali bermulanya musim persekolahan. Sebagai contohnya, pada 8 Januari 2006 dalam laporan Berita Harian telah mendedahkan bahawa guru-guru di Malaysia menjalankan tugas secara berlebihan selama 74 jam seminggu sedangkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) menetapkan bahawa maksimum jam bekerja adalah 48 jam sahaja. Ini kerana tugas mereka bukan setakat mengajar malah turut dibebani lima tugas lain – pertama; mengurus data, fail, buku rekod dan laporan; kedua, urusan pentadbiran, ketiga; kegiatan kurikulum, keempat; kokurikulum dan kelima; urusan hal ehwal murid. Butir-butir ini terkandung dalam laporan kaji selidik Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan NUTP bertajuk `Pandangan dan Syor NUTP: Beban Guru’ meliputi sekolah rendah, sekolah menengah, sekolah teknik dan politeknik yang diserahkan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Mengikut laporan yang ditandatangani pada 1 Jun 2005 itu, kaji selidik itu adalah antara usaha NUTP memberi gambaran jelas kepada kementerian supaya sesuatu dapat dilakukan untuk meringankan beban guru. Kaji selidik itu yang membahagikan beban tugas kepada lima bidang itu membuktikan guru turut bertindak sebagai kerani, setiausaha, bendahari, jurujual, jurutaip dan juruhias (rujuk http://dppnjohor.blogspot.com/2006/01/bebanan-kerja-guru-berpunca-daripada.html ) Sebab itu saya katakan bahawa bukannya sambutan Hari Guru yang perlu diutamakan tetapi tugas dan bebanan kerja guru-guru yang perlu diberikan perhatian oleh KPM. Guru-guru adalah manusia biasa yang mempunyai perasaan.
Khairul Faizi Ahmad Kamil http://www.minda-kembara.com/
Petua orang dulu-dulu

Orang dahulu kala memang suka mengaitkan sesuatu perkara dengan sesuatu alamat. Sejauhmana kebenarannya tidaklah diketahui.Tetapi yg pasti orang tua dahulu banyak meramal sesuatu melalui pemerhatiannya dan juga melalui pengalaman-pengalamannya yg lalu.Mungkin disebabkan banyak kebetulan yg berlaku membuatkan mereka mempercayai setiap alamat.

Di sini diperturunkan beberapa petanda yg berhubungkait dengan pergerakan tubuh kita. Ia boleh dijadikan pengetahuan dan bukanlah utk dipercayai semata-mata :
Kelopak mata kanan bergerak - beroleh keamanan
Kelopak mata kiri bergerak - melihat perempuan
Kelopak mata kiri bergerak dari atas - ada org akan berjalan jauh
Kelopak mata kiri dibawah bergerak - hendak menangis
Ekor mata kanan bergerak - menerima kedatangan orang jauh
Ekor mata kiri bergerak-gerak - mendapat sedikit kepayahan
Biji mata kanan bergerak-gerak - akan menangis dalam bercinta
Biji mata kiri bergerak-gerak - gembira dihati
Umbun bergerak - berbahagia pada hari tersebut
Kening kiri bergerak-gerak - beroleh kelapangan
Bibir bawah bergerak - akan menangis
Waktu subuh kepala kita bergerak - beroleh kerja yang baik
Siku kanan bergerak-gerak - beroleh kebahagiaan
Siku kiri bergerak-gerak - org yg mengasihi kita akan datang
Pelipis telinga bergerak - alami kebahagiaan
Telinga bergerak - akan berkelahi
Kepala bergerak - ada orang menyakiti hati kita
Kepala bergerak ke kiri - beroleh kebesaran
Bahu kanan bergerak-gerak - harta hendak datang
Bahu kiri bergerah-gerak - bakal berjumpa pembesar/ketua
Lengan kanan bergerak gerak - akan sakit kepala
Lengan kiri bergerak-gerak - beroleh harta Pipi kanan bergerak-gerak - alamat sakit mata Pipi kiri bergerak-gerak - sentiasa bahagia