Sabtu, 5 Disember 2009

P. PERAKAUNAN ! OH ! P. PERAKAUNAN! MAAFKAN CIKGU

Telah lama hamba tidak melayani blog sendiri. Bukannya tidak berminat lagi tetapi kesibukan bekerja menyebabkan masa yang ada amat terbatas. Pelbagai persiapan perlu dibuat untuk melahirkan pelajar yang mantap pengetahuan dan boleh berdaya saing sebagai persediaan menghadapi peperiksaan yang amat penting dalam sejarah kehidupan mereka di muka bumi ini. SPM.Tidak cukup dengan kelas tambahan waktu petang, sambung pula pada waktu malam. Tak cukup pada waktu malam, di buat pula kelas pada hujung minggu. Mujurlah suamiku memahami situasiku yang mahukan semua pelajarku cemerlang, tidak tertinggal seorangpun. Begitu juga dengan pelajarku. Majoriti memberikan komitmen yang padu walaupun tidak sehebat dan segigih komitmen bekas-bekas pelajarku pada tahun tahun lalu. Semua bertungkus lumus demi sebuah kecemerlangan yang mungkin dapat membantu memberi peluang kepada pelajarku melangkah dengan lebih jauh lagi pada masa depan. Aku mahu pelajarku melangkah ke dewan peperiksaan dengan penuh keyakinan, menjawab soalan-soalan dengan penuh ketenangan diiringi doa yang tidak putus-putus dariku sepanjang tahun ini. Aku mahu mereka berjaya bukan untukku tetapi demi masa depan mereka sendiri. Itulah harapan dan keikhlasanku sebagai pendidik sejak sekian lama. Tidak mengharapkan apa-apa balasan dari mereka atau dari pihak pentadbir. Hanya kepuasan yang aku inginkan dari kejayaan yang mereka peroleh. Puas, bila melihat mata pelajaran P.Perakaunan sekolahku menduduki ranking yang pertama di peringkat daerah. Puas melihat senyuman terukir megah di bibir pelajarku yang berjaya mendapat gred A dalam mata pelajaran yang diajar. Tetapi ALLAH itu maha kaya. Mungkin belum cukup lagi usahaku mendidik dan memberi ilmu kepada mereka selama ini. Bukan setakat pelajar, aku sendiri kaget melihat soalan SPM tahun ini. Dengan kemampuan intelektual yang dimiliki oleh pelajarku aku yakin majoriti pelajarku tidak mampu menjawab dengan baik soalan peperiksaan baru-baru ini. Terutamanya soalan nombor 2 Kertas 2. Soalan kendalian LCCI agak tinggi arasnya. Tidak keterlaluan dikatakan bukan level pelajar SPM yang yang baru setahun jagung mempelajari P. Perakaunan dan baru berumur 17 tahun. Mungkin bentuk soalan sebegitu lebih sesuai untuk pelajar matrikulasi akaun atau pun pelajar peringkat diploma. Tidak mampu aku bayangkan apa yang terjadi dengan keputusan yang akan keluar tidak lama lagi. Rasa kecewa ada, putus asa pun ada bila mengenangkan usaha keras selama ini hanya sia-sia sahaja. Pelbagai pemikiran negatif mula menguasai kotak fikiranku. Antaranya rasa nak berhenti saja dari menjadi guru akaun, dah malas nak jadi guru yang gigih, masuk kelas ngajar gitu-gitu aje sudahlah, cikgu lain ngajar gitu-gitu je tak dak apa-apa pun dan macam-macam lagi yang negatif mula menguasai pemikiranku. Namun akhirnya aku tersedar juga mungkin Allah sedang menguji aku. Menguji keikhslasan hatiku. Aku pasrah....