Antara tanda-tanda yang paling utama yang telah di sebutkan dan di tetapkan di dalam kitab-kitab sunnah nabawiyyah adalah seperti berikut:
1. Ianya berada pada setiap malam bulan Ramadhan dan juga pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada malam-malam ganjil.
2. Pada malam itu banyak malaikat yang turun ke bumi dalam bilangan yang tidak terkira.
3. Suasana pada malam itu tenang, cuacanya pula tidak panas dan tidak pula sejuk.
4. Pada paginya pula,matahari akan kelihatan kurang menyinarkan cahaya kemerah-merahannya, ianya terbit tetapi tidak bersinar At-Toyalisi telah menyatakan dari Ibnu Abbas radhiallahuanhu, bahawa Rasulullah salallahualaihi wasalam telah bersabda berkenaan dengan malam Al-Qadr; “ Malam yang dikabulkan segala doa, tidak panas dan tidak pula sejuk, dan matahari pada paginya kurang menyinarkan cahaya kemerah-merahannya ”. Muslim telah meriwayatkan dari Zar bin Habish dari Abi Ka’ab: " Sesungguhnya matahari pada paginya terbit tanpa sinaran padanya”, manakala Ubai pula berkata: " Kami telah di beritahu oleh Rasulullah salallahualaihi wasalam; Sesungguhnya ianya terbit pada hari itu tanpa sinaran padanya ”.
AMALAN DAN ADAB-ADAB PADA MALAM AL-QADR
1. Daripada perkara-perkara sunnah yang utama yang dianjurkan ialah berazam dan berniat untuk menghidupkan malam tersebut dengan penuh keimanan dan ketaqwaan.
2. Dianjurkan untuk mandi pada setiap malam daripada 10 malam yang terakhir daripada bulan Ramadhan,berhias-hias dengan wangian,dan memakai daripada secantik-cantik baju selepas solat Maghrib sebelum solat Isyak da Terawih. Sesungguhnya perkara ini telah diamalkan oleh para sahabat dan tabiin,dan di kalangan mereka ada yang melakukannya sepanjang bulan Ramadhan.
3. Tidak menjamah makanan dan minuman yang terlalu berat semasa berbuka puasa untuk mengelakkan perasaan malas dan lesu ketika beribadah dan lemah untuk menghidupkan malamnya.
4. Memperbanyakkan doa, rintihan,memohon keampunan, kesihatan, keafiatan yang berkekalan dalam agama semasa di dunia mahupun di akhirat. Sesungguhnya Saiyidah Aishah radiallahuanha telah bertanya kepada Nabi Muhammad s.a.w berkenaan dengan malam tersebut, ” Apakah yang akan aku ucapkan apabila bertemu dengan malam Al-Qadr? Maka Nabi menjawab, “ Katakanlah:
اللهم إنك عفو تحب العفو فاعف عني
5. Dianjurkan untuk mengejutkan ahli keluarga sama ada yang kecil mahupun yang besar bertepatan dengan hadis sohih daripada nabi Muhammad s.a.w bahawasanya nabi Muhammad salallahualaihi wasalam padanya mengejutkan ahli keluarganya pada malam tersebut.
6. Dan daripada perkara-perkara sunat yang dianjurkan untuk melakukannya pada malam tersebut ialah menjaga solat maghrib, isyak dan subuh secara berjemaah begitu juga solat sunat terawih dan qiam.
7. Memperbanyakkan bacaan Al-Quran pada malam Al-Qadar. Diriwayatkan bahawa Ibrahim An-Nakhie melazimi membaca al-quran dan khatam dalam bulan ramadhan pada setiap tiga hari. Apabila masuknya sepuluh malam terakhir beliau akan menamatkan bacaan Al-Quran pada setiap dua malam( iaitu beliau menambah bacaan Al-Quran pada malam-malam yang dijangkakan berlakunya lailatulqadar ).
8. Selain itu,dianjurkan juga pada malam tersebut untuk melakukan amal kebajikan dan sedekah.Ini bersesuaian dengan apa yang telah disampaikan daripada Anas bin Malik radiallahuanhu, katanya: " Amalan pada malam lailatulqadar, sedekah, solat dan zakat adalah lebih baik daripada seribu bulan ".
SEBAIK-BAIK AMALAN PADA MALAM AL-QADR
• Sufian as-Sauri telah berkata: " Doa pada malam lailatulqadar lebih aku sukai daripada memperbanyakkan solat ".
• Al-Hafiz bin Rejab pula berkata: " Yang dimaksudkan dengan banyaknya doa lebih baik daripada solat yang kurang padanya doa,sebaliknya sekiranya solat disertakan dengan banyaknya doa itu adalah lebih baik. Sesungguhnya rasulullah salallahualaihi wasalam bersolat, membaca Al-Quran dan berdoa maka terhimpun diantara solat, bacaan Al-Quran, doa dan tafakkur pada satu waktu maka sesiapa yang melakukannya adalah lebih baik dan lebih sempurna ".
PERSOALAN
S: Adakah orang yang bermusafir,wanita yang bernifas atau kedatangan haid berpeluang untuk mendapatkan malam Al-Qadr?
J: Al-Juwaibir telah berkata: " Aku pernah bertanya kepada Ad-Dahhak, adakah wanita yang bernifas dan yang kedatangan haid, orang yang bermusafir, dan yang tidur akan memperoleh lailatul Qadar ? " Dia berkata: " Ya,sesiapa yang Allah Ta'ala terima akan amalannya, maka dia akan dipertemukan oleh Allah Taala dengan Lailatul Qadar. Maksudnya ialah sekiranya mereka itu melakukan amal kebajikan dalam bulan Ramadhan lalu diterima oleh Allah Taala, maka sesiapa yang diterima amalannya, tidak mustahil untuk dia mendapatkan malam Lailatul Qadar ".
DIPETIK DARIPADA BLOG THAQAFAH DAEIAH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan