Selasa, 7 Oktober 2008

Tazkirah Remaja: Rugi jadi ‘hamba Ramadan’
Bersama Mohd Zawawi Yusoh

ALHAMDULILLAH! Kita sudahpun sama-sama merayakan Aidilfitri yang mulia dengan penuh gembira dalam suasana harmonis sekali.Segalanya baru, baju baru, pakaian baru, rumah baru tetapi harus diingat yang patut baru bukan sekadar pada baju, pakaian dan makanan tetapi yang penting dan teramat penting ialah jiwa yang baru selepas berjaya ditarbiah dan ditempa madrasah Ramadan.

Semoga puasa kita dan Tarawih kita diterima, bacaan al-Quran kita berjaya menggugah hati yang degil dan keras ini, sedekah kita menjadi perisai daripada bahaya dan musibah. Sebagai muhasabah, dalam kita merayakan hari lebaran ini jangan kita lupa, sesungguhnya ukuran kejayaan kita bukannya diukur ketika dalam puasa.Walaupun banyak kita baca al-Quran, itu belum tanda kita sudah berjaya. Bulan Ramadan memang kita kerap ke masjid untuk solat Tarawih dan itu bukan tanda kita sudah berjaya. Sedekah yang banyak pada bulan Ramadan, itu bukan tandanya kita sudah jadi pemurah.Kenapa saya kata begitu? Pembaca pun sudah boleh agak jawapan saya. Malah kerap kali kita dengar jawapan yang akan saya utarakan ini dalam tazkirah - tazkirah dan ceramah serta khutbah alim ulama.Sebabnya ialah kerana bulan Ramadan adalah bulan ‘latihan’ atau bulan ‘kursus”. Kejayaan sesuatu kursus bukannya di tempat kursus tetapi ukurannya ialah selepas selesai berkursus.

Pertarungan sebenar kita bukannya pada bulan Ramadan, malah ‘The Real Battle’ ialah 11 bulan selepas bulan Ramadan.Ada orang, dalam bulan Ramadan pergi ke surau dan masjid tiap-tiap malam tetapi kalau selesai Ramadan terus tidak pergi ke masjid dan surau. Itu namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah. Sekiranya bulan Ramadan membaca al-Quran tidak henti-henti tetapi bila saja habis Ramadan, habis tidak baca-baca lagi al-Quran dan itu juga namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah. Bulan Ramadan bukan main lagi suka bertahajjud tetapi selepas bulan Ramadan terus tidak terkejut-kejut lagi. Itu pun satu lagi namanya ‘hamba Ramadan’, bukannya hamba Allah. Maaf kerana saya guna perkataan agak kasar sedikit. Tetapi apabila difikirkan mengenai kemunafikan kita beribadat, rasanya sekali-sekala terpaksa berkasar sedikit. Ini bukan apa, cuma nak menggugah hati yang tidak terikat dengan roh Ramadan.Ungkapan mengenai hamba Ramadan sebenarnya nasihat daripada ulama semasa dan amat kontemporari iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi yang menyatakan: “Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan.” Maksudnya, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan, berbuat baik bukan hanya bermusim. Pergi ke masjid dan surau bukan ikut angin (mood) kita atau tengok ramai orang pergi, kita pun pergi juga, tetapi apabila orang sudah mula tidak pergi lagi ke masjid, kita jadi hilang semangat. Kenapa bersemangat hanya pada bulan Ramadan? Sama juga dengan semangat membantu anak-anak yatim dan fakir miskin, kenapa hanya pada satu bulan saja kita bantu dan gemukkan mereka, sedangkan kita semua tahu anak yatim dan fakir miskin tidak hidup 30 hari setahun?Anak yatim sama juga macam kita, mereka hidup selama 365 hari setahun. Bulan Ramadan, montel mereka tetapi bulan-bulan lain jadi kurus pula mereka.

Marilah kita jadikan kerajinan dan semangat serta kesungguhan kita pada bulan Ramadan sebagai ‘spark’ untuk meneruskan kerajinan pada 11 bulan yang mendatang, termasuk pada Syawal yang mulia ini.

Tiada ulasan: